Kuang Raya Cantik dan Ligat Menari

Kuang antara burung tercantik di dunia.

Oleh  JASMI ABDUL

Burung kuang raya atau burung kuau (Argusianus argus) merupakan antara spesies burung kuang yang bukan sahaja tercantik di negara ini,  malah di dunia. Kuang raya atau dalam bahasa Inggerisnya, great argus, ditemui di kawasan hutan belantara Asia Tenggara seperti Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Malaysia, Brunei Darussalam, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Burung ini tergolong dalam famili Phesanidae, iaitu burung kuang, ayam hutan dan merak. Kuang raya spesies burung kuang yang bertubuh besar sehingga mencapai hampir dua meter panjang keseluruhannya, iaitu dari hujung paruh hingga ke hujung ekor. Warna bulu kuang jantan sangat cantik dan menarik, iaitu coklat kemerahan dengan tompokan halus bulat berwarna hitam. Terdapat juga tompok  putih halus pada bulu kepak dan ekornya. Dua helai bulu ekor utamanya panjang mencapai sehingga satu meter setengah dan ada yang mencecah tanah.

Burung kuang raya betina bertubuh kecil dan mempunyai warna bulu yang kurang menarik serta berekor pendek. Burung kuang jantan dewasa gemar memperagakan dirinya dengan cara menari-nari di atas tanah yang bersih daripada ranting kayu atau sampah sarap. “Gelanggang tari” ini berbentuk bulatan dengan bergaris pusat kira-kira dua setengah meter.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.


Posted in: Flora dan Fauna

Hantar Maklum Balas Anda