Planet Paling Cantik

Oleh KASSIM BAHALI

Pernahkah anda melihat planet paling cantik di langit malam? Pada bulan ini kita berpeluang melihat planet paling cantik di langit malam, iaitu Planet Zuhal. Zuhal kelihatan cantik kerana mempunyai gegelang di sekeliling planet ini. Zuhal dan gegelangnya dapat dilihat dengan lebih jelas  pada April 2012,  kerana  berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi.

Kedudukan  Zuhal hampir dengan Bumi berlaku pada fenomena yang dinamakan Istiqbal. Zuhal mengalami Istiqbal dengan Bumi pada setiap 378.1 hari. Fenomena Istiqbal ialah kedudukan jasad samawi dalam sistem suria dalam keadaan bertentangan dengan Matahari atau pada sudut longitud samawi 180°. Pada 15 April, Zuhal mengalami Istiqbal yang kelihatan lebih besar dan cerah daripada hari lain pada tahun ini.

Gegelang Zuhal pertama kali ditemui pada tahun 1610 oleh Galileo dengan menggunakan teleskop optik. Gegelang planet ini terdiri daripada zarah yang kebanyakannya ais pepejal yang bersaiz antara 1 cm hingga 5 meter. Zarah ini bergerak mengelilingi planet Zuhal. Daripada cerapan yang dilakukan oleh Voyager 2, (prob tanpa manusia yang dilancarkan dari Bumi ke luar sistem suria) mendapati ketebalan gegelang ini tidak lebih daripada 200 meter.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Astronomi

Hantar Maklum Balas Anda