Selincah Kijang

Oleh JASMI ABDUL

Kijang mempunyai warna bulu yang cantik.

KIJANG (Mutiacus muntjak) atau barking deer merupakan mamalia bersaiz sederhana yang terdapat di hutan negara ini. Kijang berasal daripada keluarga Cervidea  atau rusa. Kijang mempunyai warna bulu yang cantik merah kekuningan dan di bawah perutnya berwarna putih. Ekor kijang pendek dan berwarna putih di bahagian bawahnya. Jika  terkejut, kijang pantas berlari sambil melompat-lompat dengan ekornya terungkit-ungkit  ke atas  sebagai tanda amaran kepada kumpulannya untuk melarikan diri daripada musuh.

Kijang jantan dewasa mempunyai tanduk kecil yang bercabang satu dan kijang betina tidak mempunyai tanduk. Kijang jantan mempunyai gigi taring yang panjang  terjulur keluar dari bahagian rahang atasnya. Taringnya digunakan untuk mencederakan lawannya ketika berlawan. Saiz tubuh kijang jantan lebih besar daripada kijang betina. Kijang jantan dewasa mampu mencapai berat sehingga 40 kilogram.

Populasi kijang ditemui di kawasan tanah tinggi terutama di rentis permatang bukit pada ketinggian kira-kira 1000 meter atau 3000 kaki dari paras laut. Kamera inframerah yang dipasang oleh renjer Perhilitan di banjaran Gunung Bintang Hijau dan Bukit Larut di Perak membuktikan kewujudan spesies ini di kawasan tanah tinggi tersebut.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Flora dan Fauna

Hantar Maklum Balas Anda