Kekakuan Otot

OLEH MAZIRA MOHAMAD GHAZALI

Kekejangan otot menyebabkan tubuh tidak dapat digerakkan.

TETANUS atau kancing  gigi  merupakan penyakit akut yang menyerang susunan saraf pusat yang disebabkan oleh racun tetanospasmin yang dihasilkan oleh bakteria berspora Clostridium tetani. Perkataan tetanus diambil daripada bahasa Yunani, iaitu tetanos daripada teinein yang bermaksud menegang.

Penyakit ini ditandai dengan kekakuan otot (spasma) tanpa disertai gangguan kesedaran. Clostridium tetani ialah bakteria yang berbentuk batang, ramping, berukuran 2-5 x 0.4-0.5 milimikro yang berbentuk spora selama di luar tubuh manusia, tersebar luas di tanah dan mengeluarkan toksin apabila dalam keadaan baik.  Bakteria ini termasuk dalam golongan gram positif dan hidupnya anaerob serta mengeluarkan toksin yang bersifat neurotoksik. Toksin ini (tetanuspasmin) menyebabkan kekejangan otot dan saraf periferi setempat. Spora daripada Clostridium tetani dapat hidup selama bertahun-tahun dan mampu bertahan dalam suhu yang sangat tinggi.

Kebiasaannya, jangkitan berlaku melalui jangkitan luka dan sering kali melibatkan cedera luka atau tusukan yang dalam. Ketika jangkitan berlaku, kekejangan otot berlaku pada rahang dan di tempat lain pada badan. Jangkitan boleh dielakkan melalui pelalian yang betul dan profilaksis selepas dedahan. Kancing gigi menyerang interaksi antara urat saraf dan otot yang terstimulasi, iaitu jaringan neuromuscular. Penyakit ini tidak menular daripada seseorang kepada seseorang. Penyakit ini terjadi apabila bakteria berubah bentuk vegetatif dalam tubuh manusia. Sebenarnya, bakteria ini menghasilkan tiga toksin, namun tetanuspasmin penyebab utama tetanus.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Sains Neuron

Hantar Maklum Balas Anda