Cahaya itu Sebentar Cuma

Oleh SHAMSUL AMIN

TATKALA merenungi bulan, hati Cahaya digamit tenang, renungan rembulan lebih mahal berbanding dengan ritma sekata teman-teman. Mereka selesa menjadi badut manusia, kononnya menghantar kegembiraan ke atma mereka. Sedangkan hati sendiri tiada terjaga, tenteram meragut wibawa. Di hujung kuala, hati terumbang-ambing dalam gelora bimbang.
Kepada bulan, Cahaya mampu mengadu resah. Jiwa sering merusuh dicucuh gundah. Hidup mereka dilacurkan di tangan manusia terlalu mudah. Dia sendiri sampai saat ini pun hidup mendesah. Perubahan zaman hampir memadamkan salasilah mereka, Pteroptyx Tener daripada riwayat alam ini. Hidup sebagai serangga kecil tidak habis-habis diasak debar.
Manusia mendambakan kelipan indah yang menghiburkan, sedangkan hati mereka sekeruh muara. Malam ini mungkin menjadi indah pada pandangan pengunjung Kampung Kuantan, tetapi tidak semua manusia arif tentang hakikat alam. Kalaulah mereka tahu kelipan ini cuma sementara.
“Mengapa kau tidak seritma dengan teman-teman kita yang lain, Cahaya. Marilah sertai pesta gemilang malam ini wahai dinda!” Kehadiran Bintang begitu mengejutkan Cahaya. Ungkapan “dinda” serasa begitu menjengkelkan, berikat canda oleh Bintang, tetapi Cahaya menganggap itu ungkapan persuasif penuh jantan yang murahan amat!

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Cerpen

Hantar Maklum Balas Anda