Empangan Air Impak kepada Alam Sekitar

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

BARU-BARU ini penulis mengadakan lawatan tapak bagi cadangan projek pembinaan terusan Jeniang dan Empangan Noak, Kedah. Sepanjang perjalanan itu, penulis  menyaksikan pemandangan yang amat indah di sekitar daerah Pendang, Sik dan Jeniang. Aliran sungainya yang mengalir dari hulu ke muara merentasi kawasan perkampungan dan sawah padi yang terbentang luas saujana mata memandang memberikan panorama yang mendamaikan hati. Namun, di sebalik keindahan ini timbul persoalan, apakah implikasi yang bakal diterima sekiranya projek empangan ini dilaksanakan nanti?

Empangan air secara umumnya banyak berjasa dalam sejarah ketamadunan manusia. Dilaporkan bahawa empangan air mula dibina  di Timur Tengah untuk tujuan bekalan air dan pengairan pertanian. Empangan air merupakan suatu binaan yang merentasi sungai bagi tujuan menakung dan mengawal kadar aliran air yang melaluinya bagi sesuatu tujuan tertentu. Pada masa ini, empangan dibina untuk pelbagai tujuan sesuai dengan keperluan hidup manusia.

Sekurang-kurangnya terdapat empat tujuan utama empangan dibina. Pertama, pembinaan empangan untuk bekalan air domestik. Pada kebiasaannya empangan dibina dengan pembinaan struktur yang mengepung air di kawasan laluan air serta pembinaan kolam yang besar untuk menyimpan air. Isi padu air yang mencukupi untuk sesuatu jumlah tertentu disalurkan ke loji rawatan air  untuk rawatan sebelum digunakan oleh orang ramai. Pembinaan empangan bagi tujuan bekalan air domestik banyak dibina di negara yang mengalami masalah bekalan air yang semakin meruncing.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.

Posted in: Uncategorized

Hantar Maklum Balas Anda