Inovasi Perikanan Tropika

SOROTAN utama dalam Dewan Kosmik keluaran Jun memaparkan sumbangan Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, dalam penyelidikan dan inovasi industri perikanan negara. Fokus Khas ini sempena dengan penganjuran “Karnival Citra Bahasa di Alam Akua” yang diadakan pada Mei lalu di Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang. Pelancaran Fokus Khas Dewan Kosmik bersama-sama dengan beberapa buah buku perikanan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abas. Karnival tersebut anjuran bersama Institut Penyelidikan Perikanan dengan DBP.
Ruangan ini bertujuan untuk mengetengahkan kemajuan teknologi dan inovasi dalam industri perikanan negara, khususnya dalam bidang akuakultur, perikanan tangkapan, pemprosesan hasil perikanan, pemuliharaan persekitaran akuatik, peningkatan mutu, keselamatan produk perikanan dan kegunaan hidupan akuatik.
Fokus Khas memuatkan penulisan daripada penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan yang telah mengikuti “Bengkel Bimbingan Penulisan Rencana”, pada 20 – 22 Mac 2012, di Pulau Sayak, Kedah. Penulis fokus ini terdiri daripada penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan dari beberapa cawangan, seperti Mohamad Zaini Suleiman (Glami Lemi, Negeri Sembilan), Suhairi Alimon dan Saberi Mawi (Gelang Patah, Johor), Teoh Pik Neng dan Zaidnuddin Ilias (Pulau Sayak, Kedah). Wawancara dengan Pengarah Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perikanan, Haji Rosly Hassan turut dimuatkan dalam ruangan khas ini. Beliau menerangkan kejayaan penyelidikan perikanan tropika yang telah diusahakan oleh beberapa cawangan Institut Penyelidikan Perikanan.

– Norizan Muslim

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Jun 2012.
Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda