Unsur Kemanusiaan


DEWAN Kosmik keluaran Julai menyajikan beberapa ruangan yang menarik untuk ditatap ilmunya oleh semua golongan pembaca majalah ini. Ruangan baharu Penyelidikan Perikanan membongkar isu yang menarik dalam bidang akuakultur negara. Ruangan yang penuh maklumat tentang pelbagai inovasi penyelidikan perikanan tropika adalah kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Artikel yang memenuhi ruangan ini ditulis oleh penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan, yang telah menyimpan sekian lama hasil penyelidikan mereka untuk disebarkan kepada masyarakat. Banyak informasi dan ilmu dapat digunakan oleh pembaca yang berminat untuk menjadikan perikanan sebagai sumber pendapatan utama atau sampingan.

Ruangan Kesihatan Wanita pula amat berguna kepada semua peringkat umur wanita. Kesihatan wanita dari hujung rambut ke hujung kaki dihuraikan oleh Profesor Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Maklumat kesihatan dalam ruangan ini seharusnya dimanfaatkan oleh semua wanita kerana penjelasan tentang pelbagai penyakit yang berkaitan wanita dapat dijadikan panduan dalam kehidupan harian.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul cukup sinonim bagi pesakit kronik. Kisah penderitaan pesakit kronik dalam ruangan Selagi Berdaya turut mendapat perhatian sidang editor untuk dikongsi bersama-sama dengan pembaca. Ruangan yang berunsurkan kemanusiaan ini menyingkap setiap pengorbanan yang bersulamkan ketabahan dan kecekalan hati pesakit untuk terus hidup pada hari-hari mendatang. Kisah mereka diharapkan dapat menguatkan semangat pesakit kronik lain untuk menanamkan semangat yang kental melawan penyakit yang tidak mengenal mangsa. Pembaca turut dapat memahami fakta saintifik dan sains perubatan tentang penyakit kronik tersebut.

Ruangan Selagi Berdaya pada bulan lepas memilih Fazz Fadhilah, pesakit distrofi otot yang dapat terus hidup hingga hari ini walaupun doktor telah menganggarkan  tidak mempunyai harapan untuk hidup. Pada bulan ini, ruangan ini menyingkap ketabahan Haniza Lockman yang menghidap dermatofibroma, kanser lapisan kulit.

Norizan Muslim.

___

Dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2012

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda