Albedo Kejora Paling Tinggi

Oleh MAIA ELEKTRA

ALBEDO membawa maksud pecahan cahaya matahari yang dipantulkan semula ke ruang angkasa oleh planet, asteroid dan satelit semula jadi. Albedo tidak memiliki unit, sama seperti magnitud ketara dan magnitud mutlak. Albedo tidak dipengaruhi saiz objek mahupun jarak objek kosmik dari matahari. Komposisi bahan kimia yang menyelubungi permukaan sesebuah objek kosmik menentukan albedo.
Utarid merupakan planet terdekat dengan matahari, memiliki nilai albedo rendah, iaitu 0.142. Eris pula sebuah planet kerdil dengan diameter 2500 kilometer serta berjarak 67.67 Unit Astronomi, memiliki nilai albedo jauh lebih tinggi daripada Utarid, iaitu 0.96. Hal ini demikian kerana permukaan Eris dipenuhi dengan ais metana berwarna merah, manakala Utarid memiliki lapisan atmosfera amat nipis.
Zuhal berdiameter 120 540 kilometer dan albedonya ialah 0.47, manakala Enceladus sebuah satelit semula jadi bagi Zuhal, diameternya cuma 513 kilometer, tetapi memiliki nilai albedo paling tinggi dalam sistem suria, iaitu 1.375. Keadaan tersebut berpunca daripada permukaan Enceladus yang dilitupi ais berwarna putih, terdiri daripada sebatian hidrogen serta oksigen, manakala permukaan Zuhal dipenuhi dengan kepulan gas hidrogen dan helium.
____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Angkasa

Hantar Maklum Balas Anda