Vitamin E Banyak dalam Minyak Sawit

Oleh RAMLAN ABD. WAHAB

VITAMIN E antioksidan yang wujud secara semula jadi dan boleh didapati dalam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehingga kini terdapat dua jenis Vitamin E, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap jenis itu pula wujud dalam empat isomer yang berlainan struktur molekulnya, iaitu alfa, beta, gama dan delta. Dalam alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan yang berbeza mengandungi setiap isomer dengan kuantiti yang berbeza atau mungkin tidak mengandungi kesemua isomer itu.
Tokoferol (yang lebih dikenali sebagai Vitamin E yang dijual sebagai makanan tambahan kesihatan di pasaran) boleh diperoleh dengan banyak daripada minyak bijirin, seperti minyak soya, kanola dan minyak bunga matahari, manakala tokotrienol banyak terdapat dalam minyak sawit dan minyak sekam padi.
Minyak sawit (yang diperoleh daripada pokok kelapa sawit, Elaeis guineensis) mengandungi lebih kurang 75 peratus alfa, gama dan delta tokotrienol serta hanya 25 peratus alfa-tokoferol. Berbanding dengan yang lain, kuantiti gama-tokotrienol paling banyak dalam minyak sawit.
Sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu, banyak kajian dijalankan di seluruh dunia untuk menyelidik kepentingan dan manfaat Vitamin E dalam minyak sawit kepada kesihatan dan keselesaan hidup manusia. Walaupun kebanyakan kajian masih pada peringkat ujian percubaan menggunakan haiwan di makmal, kebanyakan penemuannya adalah positif kepada rumusan bahawa Vitamin E dalam minyak sawit memberikan banyak manfaat kepada kesihatan manusia.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Sains Pemakanan

Hantar Maklum Balas Anda