Sel Ovum daripada Tisu Ovari

Oleh SITI SYAIRAH MOHD. MUTALIP

KEMANDIRIAN hidup manusia diteruskan menerusi proses pembiakan secara semula jadi. Proses pembiakan manusia pada dasarnya melibatkan hubungan kelamin antara individu lelaki dengan perempuan, iaitu percantuman benih yang juga dikenali sebagai sel gamet daripada kedua-dua individu pasangan ini. Proses percantuman dua sel gamet ini dipanggil persenyawaan. Persenyawaan melibatkan penggabungan dua sel gamet, iaitu sel sperma lelaki dan sel ovum perempuan.
Sel gamet ini dihasilkan melalui satu proses yang spesifik, iaitu proses gametogenesis (istilah bagi penghasilan kedua-dua sel gamet sperma dan ovum). Sepertimana sel sperma manusia terhasil melalui proses spermatogenesis, sel ovum pula terhasil daripada satu proses khusus dikenali sebagai oogenesis yang berlaku di dalam ovari (Rajah 1) seseorang wanita.
Oogenesis lazimnya berlaku secara semula jadi mengikut pola dan kitaran yang tertentu. Namun begitu, dengan pembangunan teknologi yang semakin pesat, kini telah wujud penemuan yang membolehkan sel ovum “dicipta” di dalam makmal bagi tujuan perubatan dan rawatan.
Ovum yang juga kadangkala dikenali sebagai oosit atau sel telur merupakan sel yang terbesar di dalam seseorang individu. Hal ini demikian kerana komposisi sesuatu sel ovum itu yang terdiri daripada bahagian sitoplasma yang besar yang wujud hasil daripada proses pembahagian sel yang tidak sekata semasa oogenesis. Pembahagian sitoplasma yang tidak sama ini adalah untuk memastikan sel ovum ini cukup besar dan mampu untuk berkembang menjadi embrio sekiranya berlaku persenyawaan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Genetik

Hantar Maklum Balas Anda