Rawatan Bau Lumpur Ikan Air Tawar

Oleh KAHARUDIN MD SALLEH
IKAN ternakan air tawar,  khususnya yang dihasilkan dari kolam tanah, biasanya berbau lumpur dan berasa hanyir apabila dimakan. Bau dan rasa yang kurang menyenangkan ini menjejaskan penggunaan dan seterusnya permintaan ikan tersebut, di samping menghalang usaha selanjutnya untuk mengetengahkan pelbagai produk nilai tambah daripada sumber ini. Keadaan ini berlarutan begitu lama sehingga kebanyakan orang tidak menjamah hidangan atau menu makanan ikan air tawar. Mereka langsung tidak tertarik dengan pelbagai jenis ikan air tawar yang berada di pasaran.
Bau lumpur ikan disebabkan oleh dua bahan organik utama yang dikenal pasti terdapat di dalam tisu ikan, iaitu 2-Methylisoborneol (MIB) dan geosmin (1,10-trans-dimethyl-trans-9-decalol). MIB dan geosmin merupakan metabolit sampingan yang dihasilkan oleh mikroorganisma, terutama daripada kumpulan alga biru hijau (sianofit), seperti Oscillatoria sp. dan  Anabaena sp., kulat (aktinomiset) dan bakteria (Streptomyces tendae).
Agen ini yang terdapat di dalam kolam mampu diserap dengan mudah oleh ikan ke dalam tisunya melalui insang. Kajian yang dijalankan terhadap ikan keli oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menunjukkan bahawa tisu ikan yang mengandungi lebih daripada 0.7 mg kg-1 ikan, didapati tidak enak untuk dimakan. Walau bagaimanapun, tidak semua bakteria dan alga memberikan kesan negatif terhadap ternakan. Beberapa hidupan seni air, seperti Chlamydomonas peterfii daripada alga biru hijau didapati menghasilkan bau buah-buahan dan bunga pada air.
Antara langkah awal yang disyorkan perlu diambil untuk mengurangkan permasalahan ini termasuklah melalui pengawalan pencambahan beberapa jenis alga tertentu semasa ternakan. Walau bagaimanapun, ikan ternakan yang dihasilkan di dalam kolam tanah perlu dirawat terlebih dahulu untuk menghilangkan bau lumpur sebelum dipasarkan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Hantar Maklum Balas Anda