MENJEJAKI PARASIT DALAM DARAH

Oleh AINUL HANIS MD. ANAR

WABAK malaria merupakan penyakit berjangkit yang berleluasa sejak era 40-an, dan juga telah lama menular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Setakat ini, masih tiada vaksin yang berkesan untuk mencegah penyakit ini, ubat penghalang mesti diambil secara berterusan bagi menghalang risiko jangkitan. Secara umumnya, jangkitan malaria biasa dirawat dengan penggunaan ubat antimalaria, seperti kuinin atau hasilan artemisinin. Malaria ialah penyakit  yang disebabkan oleh sejenis parasit protozoa daripada genus Plasmodium dan nyamuk betina genus Anopheles (nyamuk tiruk) pula memainkan peranan sebagai vektor penyebar dalam kalangan manusia.

Secara umumnya, hanya terdapat lima spesies parasit Plasmodium yang mampu menjangkiti manusia, iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium malariae, Plasmodium ovale dan Plasmodium knowlesi. Kumpulan patogenik manusia ini dirujuk sebagai parasit malaria. Selain manusia, parasit Plasmodium juga menjangkiti haiwan seperti monyet, burung dan reptilia. Memandangkan kepentingan kelima-lima spesies Plasmodium ini dalam penularan penyakit malaria kepada manusia, Profesor Madya Dr. Chua Kek Heng telah mencipta kit pengesan Plasmodium yang dinamakan PlasmoNex™ bagi mengenal pasti kelima-lima spesies parasit tersebut. Beliau yang merupakan pensyarah di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, menjelaskan bahawa malaria merupakan salah satu. penyakit berjangkit yang amat biasa dan membawa impak yang besar terhadap kesihatan umum sedunia. Penyakit ini tersebar luas di kawasan tropika dan subtropika, termasuk Sub- Sahara Afrika,Asia, dan sebahagian dari Amerika. Menurut laporan malaria sedunia, terdapat sekitar 300 – 500 juta orang diserang penyakit ini, dan malaria juga membunuh kira-kira satu hingga dua juta manusia pada setiap tahun terutamanya golongan kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Sub- Sahara Afrika.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November  2012.

Posted in: Fokus, Utama

Hantar Maklum Balas Anda