PENGESAN MALARIA SELAMATKAN NYAWA

PADA tahun 1943, ketika tentera Amerika Syarikat menjalankan misi ketenteraan di seberang laut, mereka telah diserang oleh parasit Plasmodium dan menyebabkan 10 peratus daripada mereka gugur sebelum sempat berjuang di medan tempur. Jumlah kematian ini menunjukkan satu serangan penyakit malaria yang senyap dan tepat pada sasaran.

Berdasarkan kajian oleh Snell dan rakan-rakan, gabungan gamet dalam alga yang dipanggil klamidomonas memerlukan protein HAP2, iaitu protein yang sama dalam parasit Plasmodium. Jika protein ini berjaya disingkirkan daripada Plasmodium, maka kemungkinan jangkitan malaria tidak berjaya disebarkan. Malah, kajian ini mencetuskan harapan baharu, iaitu ciptaan vaksin bagi menyekat fungsi HAP2 dan seterusnya memecahkan kitaran pembiakan Plasmodium.

Selain itu, di Kemboja, pihak kerajaan telah memberikan kelambu terawat kepada rakyatnya bagi mengatasi masalah ini. Inilah antara langkah pencegahan yang wajar dilaksanakan walaupun langkah ini tidak memberikan impak yang sangat besar kepada jumlah kes malaria.

Prevalens yang sangat tinggi ini seharusnya memerlukan satu mekanisme yang mantap bagi mengurangkan statistik kematian saban tahun di seluruh dunia. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, kadar insiden malaria telah menurun pada tahun 2012 dan jumlahnya akan diturunkan lagi menerusi Pelan Strategi Negara untuk Penghapusan Malaria (2011-2020).

Diagnosis yang sering kali tidak tepat dan lewat menyebabkan seorang pensyarah Universiti Malaya mengambil inisiatif mencipta sebuah kit pengesan yang mampu mengesan kelima-lima spesies Plasmodium secara serentak. Kit pengesan yang dinamakan PalsmoNex ini menggunakan kaedah multipleks-PCR dan dapat mengenal pasti spesies Plasmodium dalam tempoh tiga jam sahaja.

Penemuan ini diharap dapat membantu doktor memberikan ubat antimalaria yang khusus kepada pesakit tanpa perlu bimbang akan isu kerintangan parasit terhadap antimalaria. Malah, produk ini sesuai digunakan untuk diagnosis malaria di makmal swasta ataupun hospital

– Mohd. Syukri Anwar

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik November  2012.

Posted in: Nota Editor, Utama

Hantar Maklum Balas Anda